
Oleh Noorshazana Shaadan (Muar)
MUAR, 2 Feb (Malaysiaaktif) – JUITA yang merupakan Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Johor telah menganjurkan satu majlis penyampaian sumbangan dan bungkusan bersempena dengan Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2016. Majlis diadakan di Pusat Latihan Dalam Komuniti Nur Zaharah, Parit Jawa.
Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertua JUITA, Datin Rosni Omar denganpenyampaian sumbangan bantuan wang dan barang keperluan harian kepada seramai 60 orang penerima.
Beliau turut merasmikan Bengkel PDK Nur Zaharah Kreatif di bawah pengelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dalam ucapan perasmian, beliau berkata Bengkel PDK ini inisiatif seiring dengan konsep masyarakat penyayang yang perlu diterapkan dalam masyarakat Johor.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Johor Hajah Asiah Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Balang, Zaiton Ismail serta barisan jawatankuasa JUITA Negeri Johor.
Seramai hampir 500 orang turut hadir.