
Oleh Salawati Mat Shariff (Seberang Prai)
KEPALA BATAS, 29 Feb (Malaysiaaktif) – Keunikan 29 Februari 2016 menyaksikan banyak kelahiran bayi tahun lompat di semua hospital seluruh negera, termasuk Hospital Kepala Batas yang mencatatkan 2 kelahiran bayi pada hari ini setakat jam 12 tengah hari tadi.
Bayi pertama yang dilahirkan adalah seorang bayi perempuan seberat 2.92kg pada jam 4.05 pagi tadi oleh Roslina Ibrahim, 35 tahun.
Walaupun mengikut pengiraan awal bayinya akan dilahirkan pada 14 Mac ini, Roslina berasa amat gembira kerana kelahiran anak ketiganya yang jatuh pada 29 Februari iaitu tarikh paling istimewa dalam bulan Februari.
Sementara itu, seorang lagi ibu muda, Norlida Abd Rahim, 27 tahun, berasa gembira dan teruja dengan kelahiran anak keduanya yang dilahirkan pada jam 5.24 pagi tadi. Bayi lelaki yang masih belum diberi nama ini dilahirkan seberat 3.14kg.
Norlida dan ahli keluarganya tidak menyangka akan melahirkan bayinya pada tarikh istimewa ini iaitu awal dua hari daripada tarikh jangkaan bersalin.
Menurut matron Hospital Kepala Batas, Abiramasundary Vellu, beliau berasa gembira dengan pengalaman menyambut kelahiran bayi tahun lompat tersebut. Abiramasundary yang mula bertugas di hospital tersebut semenjak Ogos 2014, berharap bayi-bayi ini akan membesar dengan baik dan sihat.
Tarikh 29 Februari yang juga dikenali sebagai tahun lompat, hanya muncul sekali dalam setiap empat tahun. Mengikut kalendar Gregory, setahun mengandungi 365 hari, manakala tahun lompat mengandungi 366 hari, dengan tambahan 1 hari pada akhir bulan Februari.