
Oleh Azimee Abdullah (Georgetown)
BALIK PULAU, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Warung Laksa Pokok Asam sudah sinonim bagi penggemar laksa di Balik Pulau, Pulau Pinang. Warung yang terletak di tepi sungai menghala ke Kuala Jalan Baru ini berbeza daripada laksa biasa kerana rasa kuahnya seakan-akan asam pedas.
Pemilik warung Laksa Pokok Asam, Ishak Ibrahim, 78, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Aq berkata, beliau mula menjual laksa ini sejak dari tahun 1962 dan resipi kuah laksanya adalah resepi turun temurun keluarganya.
Warung laksa Pak Aq dinamakan Laksa Pokok Asam kerana lokasi warungnya yang terletak di bawah sepohon pokok Asam.
Menurut Pak Aq lagi, laksa yang dijualnya berharga serendah RM2 semangkuk, dengan perkhidmatan layan diri.
Waktu perniagaan warung ini bermula dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang dan tutup pada setiap hari jumaat.
Pelanggan warung Laksa Pokok Asam terdiri daripada pelbagai kaum.