Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePulau PinangViral

Cuaca Panas Jejas Sayur dan Buah-Buahan Pulau Pinang

By 29 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zahari Zakaria (Bukit Mertajam)

BUKIT MERTAJAM, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Selain memberi kesan kepada kesihatan, sayur-sayuran dan buah-buahan di negeri ini turut terjejas  berikutan cuaca panas disebabkan oleh fenomena El-Nino.

Sehubungan itu, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bertindak menetapkan harga siling sayur dan buah-buahan di Pusat Borong FAMA bagi membantu para petani memasarkan produk mereka.

Menurut Penolong Pengurus Operasi FAMA Bukit Mertajam, Shukor Zakaria, cuaca panas memberi kesan kepada pertumbuhan sesetengah jenis sayur dan buah-buahan.

“Ada sayur yang tahan panas dan ada juga tidak tahan panas, seperti kubis bunga, brokoli, salad dan tomato. Begitu juga dengan buah-buahan yang memerlukan cuaca sesuai untuk pertumbuhan.”

Tambahnya, bagi menampung bekalan sayur dan buah yang agak berkurangan pada ketika ini, bekalan diperoleh daripada Ladang Kontrak FAMA di Ara Kuda dan Pusat Operasi Sungai Petani, Kedah.

“Sayur seperti kobis Cina, kobis Indonesia dan kelapa turut diimport dari luar, selain dari  Cameron Highlands untuk menampung permintaan di Pulau Pinang.”

Sementara itu, cuaca panas ketika ini mendorong ramai petani mengusahakan tanaman jagung kerana ciri ketahanan dalam keadaan suhu yang tinggi.

Menurut Shukor, bekalan jagung yang diperolehi daripada petani di Ladang Kontrak FAMA Pongsu Seribu dan Tasek sentiasa boleh didapati di di Pusat Borang FAMA.

Mengulas tentang kenaikan harga sayur, Shukor berkata cuaca panas menyebabkan harga sayur di pasaran naik adalah kerana permintaannya yang tinggi dan hasil yang kurang.

Pusat Borong FAMA Bukit Mertajam dibuka pada awal Januari lalu bagi menangani kenaikan harga barangan yang semakin menghimpit rakyat.

 

– Zahari/AH/SH/AAS

 

Tinggalkan komen anda