Skip to main content
Berita TempatanSabah

Fenomena Gerhana Matahari Separa 9 Mac Ini

By 1 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Asmidar Zainol (Sabah)

 KOTA KINABALU, 1 MAC 2016 (Malaysiaktif) –? Masyarakat di sekitar ibu negeri, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Matahari pada 09 Mac ini, bermula jam 7.30 pagi.

Sehubungan itu, Ketua Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Ustaz Mohd Jumat Abd Razak albelurani menjemput masyarakat setempat untuk menyaksikan fenomena itu di Balai Cerap Al Biruni, Tanjung Dumpil Putatan pada jam 07 hingga 10.00 pagi, manakala Solat Gerhana pula akan dilaksanakan di Masjid Al-Hilal yang bersebelahan balai cerap berkenaan pada jam 7.45 pagi.

“Sesungguhnya, fenomena ini merupakan wasilah untuk umat Islam mempertingkatkan iman dan taqwa kepada Allah Yang Maha Pencipta.

“Ia bukan sahaja dapat diperhatikan dengan mata kasar, bahkan mengajak umat Islam menghayati serta mendalami tanda-tanda kebesaran Allah SWT dengan mata hati.

“Kita juga mensyorkan agar masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri mengadakan solat dan kutbah Gerhana Matahari,” jelas beliau.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Balai Cerap Negara, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Farahana Kamarudin yang dihubungi di pejabatnya berkata, fenomena ini akan bermula lewat beberapa minit berbanding di Semenanjung.

 

9.

Pegawai Penyelidik Balai Cerap Negara (ANGKASA) Farahana Kamarudin berkata, fenomena ini akan bermula lewat beberapa minit berbanding di Semenanjung.

 

“Di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya, Gerhana Matahari boleh disaksikan bermula jam 7.30 hingga 9.57 pagi dan kemuncaknya ialah pada jam 8.40 pagi.

“Bagi kawasan Kudat pula, gerhana akan bermula apda jam 7.34 hingga 10.00 pagi dan ia akan kelihatan maksimum pada jam 8.42 pagi.

“Untuk masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan, gerhana akan berada pada tahap maksimum menjelang jam 8.39 pagi dan ia mula kelihatan seawal jam 7.31 hingga 9.59 pagi,” ujarnya.

Mengenai fenomena berkenaan, beliau menjelaskan bulan akan menutupi matahari sedikit demi sedikit sehingga keseluruhan matahari akhirnya akan ditutupi sepenuhnya oleh bulan.

“Pada ketika itu, kawasan atau lokasi yang berada dalam kawasan umbra akan berpeluang melihat fenomena Gerhana Matahari Penuh di mana mereka akan merasai keadaan seperti waktu senja selama beberapa minit.

“Kali terakhir Malaysia mengalami gerhana matahari separa adalah pada 2010 dan satu fenomena gerhana matahari iaitu Gerhana Matahari Anulus (Cincin) akan dapat dilihat di Sarawak 26 Disember 2019,” tambah beliau.

Farahana turut menasihati orang ramai agar tidak melihat matahari secara langsung dengan mata kasar tanpa menggunakan penapis matahari yang sesuai bagi mengelakkan kerosakkan kekal pada mata.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar masyarakat menggunakan kacamata khas yang boleh didapati di beberapa kedai instrumentasi astronomi dan kelab astronomi di seluruh Malaysia selain membina kamera ‘pin hole’ untuk melihat imej gerhana matahari separa dengan menggunakan kadbod berlubang dan melihat fasa-fasa gerhana melalui bayang di atas kertas atau kain putih.

Pihak ANGKASA juga akan menyediakan kemudahan menyaksikan siaran langsung gerhana, diwww.angkasa.gov.my atau Facebook/Twitter: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) sekiranya keadaan cuaca ditempat anda adalah kurang memuaskan.

 

Tinggalkan komen anda