
Oleh Sharman a/l Subramanian (Kuala Selangor)
BESTARI JAYA, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Hutan Simpan Raja Muda Musa terbakar sejak Ahad lepas.
Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Pegawai Daerah Kuala Selangor merangkap Pengerusi Bencana Daerah, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, jenis tanah di hutan tersebut jenis gambut dan kebakaran disebabkan pemancing menceroboh kawasan hutan dan menyalakan unggun api tetapi tidak memadam sepenuhnya mengakibatkan ia merebak ke kawasan hutan.
Kawasan tersebut mempunyai keluasan 81, 304 hektar merangkumi empat hutan simpan, iaitu Raja Muda Musa, Sungai Burong, Sungai Dusun dan Bukit Belata Tambahan. Keluasan Hutan Simpan Raja Muda Musa ialah 35,655 hektar dan lebih kurang 30 hektar daripadanya terjejas disebabkan kebakaran itu.
Shamsul Shahril Badliza juga berkata, dengan bantuan seramai 33 anggota bomba dari Balai Bomba Bestari Jaya, Tanjung Karang, Sekinchan, Petaling Jaya dan Shah Alam, kira-kira 80 peratus kebakaran berjaya dipadamkan.
Turut membantu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Menurutnya lagi, kaedah ‘water bombing’ melalui udara menggunakan sebanyak 744,000 liter dilakukan dengan lima penerbangan.
Hari ini usaha pemadaman hanya dilakukan di kawasan darat dan dijangka akan tamat dalam masa dua hari, kata beliau.
Dalam sidang media yang sama Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Dr. Mohd Puat Dahalan berkata proses pemadaman dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Perhutanan supaya api tidak merebak.
Beliau berkata pemadaman dilakukan dengan kadar segera supaya tidak mengakibatkan jerebu.
Sebelum ini Hutan Simpan Raja Muda Musa telah mengalami kebakaran pada 2014 melibatkan lebih 400 hektar dan mengambil masa selama dua bulan bagi memadamnya.