
Oleh Amran Mohd Kamis / Zurina Saad / Mohd Hairul Bakar (Yan)
YAN, 24 Mac (Malaysiaktif) — Selain popular dengan nira nipah, daerah Yan juga kini terkenal dengan mi udang di Kuala Sedaka yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Yan Besar.
Pemilik gerai mi udang ini, Basiron Shah, 50, atau lebih di kenali dengan panggilan abah menggunakan udang segar yang diperoleh terus daripada nelayan di sekitar daerah ini. Beliau menggunakan lebih kurang 10 kilogram udang pada hari-hari biasa dan meningkat kepada 20 kilogram semasa cuti sekolah dan hari kelepasan am.
Selain mee udang, gerai ini turut menyediakan mi ketam, mi sotong dan pelbagai hidangan lain. Harga yang di tawarkan pula di antara RM10 hingga RM 15 bagi sepinggan mi udang dan dari RM17 hingga RM 20 bagi sepinggan mi ketam, bergantung kepada harga pasaran.
Menurut seorang pelanggan, Masitah Yusuf 51, dia sering berkunjung ke gerai ini bersama rakannya Noraliza Zainon 39 pada setiap minggu. Dia berkata makanan yang di sediakan di sini sedap-sedap belaka dan harganya berpatutan.
Lebih menarik, gerai ini terletak berhampiran muara sungai Kuala Sedaka dengan pemandangan laut yang menyegarkan.
Gerai ini dibuka setiap hari, kecuali Isnin dari pukul 3.00 petang sampai 12 tengah malam.