
Oleh Andi Abdul Rohim (Nibong Tebal)
NIBONG TEBAL, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki Cina dan seorang wanita warganegara Vietnam ditahan polis pada Khamis dalam satu serbuan oleh para anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang di sebuah rumah di sini yang disyaki digunakan sebagai makmal dadah.
Dalam serbuan itu polis menemui dan merampas bahan-bahan dan peralatan untuk menghasilkan dadah berserta dadah pelbagai jenis. Rampasan dianggarkan bernilai RM200,000.
Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.
Sementara itu, seorang lelaki berketurunan India turut ditahan semalam di sebuah rumah di Sungai Bakap bersama 21 paket dadah seberat 176 gram yang dipercayai heroin bernilai RM3800.
Ketua JSJN Pulau Pinang, Superintendan Guan Beng Kiang berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan semalam.