Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Nafas Baharu Pantai Bisikan Bayu

By 28 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh : Ruslan Abdul Rahman/Nur Shafira Bt Mat Hussin (Pasir Puteh)

Pasir Puteh 28 Mac 2016 (Malaysiaktif) –  Suatu ketika dahulu nama Pantai Bisikan Bayu sentiasa meniti di bibir masyarakat Kelantan kerana keindahan alam sekitar dan pantai yang mempersonakan.

Namun, keindahan dan kegemilangannya lenyap dan hampir terkubur kerana keadaan fizikalnya yang seakan-akan sudah tidak bernyawa dan tidak berdaya melawan arus kemodenan, kerakusan manusia dan kitaran alam.

Ini dapat dibuktikan dengan kawasan pesisir pantainya yang kotor dan tidak terurus dengan kayu-kayu hanyut, sampah sarap yang bertaburan di sekitar kawasan pantai tersebut. Tambahan pula pantai ini antara kawasan yang terjejas dengan fenomena air pasang dan ombak besar yang seringkali melanda kawasan pantai apabila tiba musim tengkujuh.

Pantai Bisikan Bayu yang terletak di Cherang Ruku Semerak, adalah antara produk pelancongan terawal yang dibangunkan di Pasir Puteh. Jarak pantai ini daripada bandar Pasir Puteh hanyalah sejauh 16 kilometer sahaja dan terletak hanya 3 kilometer dari sempadan Kelantan dengan Terengganu melalui jalan Kuala Besut-Semerak.

Kemurungan Pantai Bisikan Bayu turut dirasai oleh Rusli Ismail, 46 seorang aktivis pencinta alam yang ingin melihat Pantai Bisikan Bayu kembali bernyawa seperti suatu ketika dahulu. Beliau menzahirkan rasa kesal apabila melihat keadaan persekitaran pantai yang teruk sewaktu datang bersiar-siar bersama keluarga.

Rentetan itu, beliau mula berkongsi status di laman sosial Facebook dan whatsapp  untuk mengajak masyarakat bersama-sama menjalankan gotong-royong bagi membersihkan kawasan pantai tersebut.

Pendekatan beliau telah mendapat sokongan sukarelawan tempatan, malah turut menerbitkan rasa tanggungjawab pengurusan Tok Aman Bali Beach Resort dengan menjalankan aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) sebagai sokongan kepada aktiviti amal gotong-royong ini.PBB

Menurut Zulkarnain Hashim, Pengurus Operasi Tok Aman Bali Beach Resort, pihak resort sentiasa mendekatkan diri dengan masyarakat serta menyokong sebarang usaha ke arah menjaga kebersihan alam sekitar.

Sukarelawan yang hadir ini turut menyuarakan pendapat agar pihak Majlis Daerah Pasir Puteh dapat memberikan kerjasama dalam menghidupkan kembali pantai yang pernah menjadi kebanggaan daerah ini serta menambah baik fasiliti yang sedia ada bagi kemudahan pengunjung.

Tinggalkan komen anda