
Oleh Andi Abdul Rohim (Nibong Tebal)
NIBONG TEBAL, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Petani-petani sekitar kawasan Sungai Acheh, Sungai Chenaam, Nibong Tebal semakin resah Sabtu lepas apabila mendapati air sungai tidak dapat masuk ke kawasan bendang.
Tinjauan Malaysiaaktif mendapati cuaca panas dan kering mengakibatkan paras air Sungai Kerian rendah dan tidak dapat memasuki kawasan bendang berhampiran, seterusnya menyukarkan petani untuk mengusahakan musim baharu penanaman padi.
Menurut seorang petani dari Sungai Chenaam, Azman Mastor, 48, air tidak dapat masuk ke sesetengah kawasan bendang yang bertanah tinggi, kerana air yang dipam dari sungai hanya tertumpu ke kawasan rendah.
Tambahnya, untuk menyerakkan benih padi, air di dalam kawasan bendang perlu berada di paras 8 inci namun kebanyakan bendang sekarang hanya dipenuhi air sekitar 3 inci.
“Sepatutnya petani sudah menyerak benih padi untuk penanaman semula padi tetapi tertangguh akibat air yang tidak sepenuhnya masuk ke kawasan bendang,” ujar Azman lagi.
Penduduk setempat berharap kesan daripada cuaca panas ini tidak berpanjangan dan memudahkan para petani turun ke bendang untuk mengusahakan padi.
Sementara itu, pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IAIDA) Pulau Pinang dan Jabatan Pertanian telah menyediakan tujuh buah pam air bagi mengatasi masalah tersebut. Kos minyak turut ditanggung dengan RM2,000 sehari.