Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Wang Royalti Kelantan: Persekutuan Dan Negeri Setuju 50-50

By 21 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Azhar HJ Ismail (Kelantan)

KOTA BHARU, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Isu tuntutan dan pembahagian wang royalti hasil minyak dan gas bagi Negeri Kelantan selesai dengan tercapainya persetujuan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan nisbah 50-50. Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, kepada seluruh warga perkhidmatan awam agensi Persekutuan di Majlis Perhimpunan Bersama Warga Wisma Persekutuan di perkarangan Wisma Persekutuan Jalan Bayam, Kota Bharu semalam.

Mustapa menjelaskan bahawa kesepakatan yang dicapai itu akan merungkai kekusutan dan segala tohmahan rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan. Menurut beliau juga, dengan persetujuan itu, kempen ‘R’ atau Tuntutan Royalti tidak lagi relevan.

Wang ihsan yang diperoleh Kelantan hasil daripada royalti adalah sejumlah RM160 juta sejak tahun 2010. Sebelum ini agihan dibuat oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPP) dengan fokus kepada kluster pendidikan dan khairat kematian. Di mana setiap anak Kelantan yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi atau universiti akan diberi bantuan khas sebanyak RM800. Manakala khairat kematian pula diberikan wang ehsan kepada keluarga yang meninggal dunia sebanyak RM400.

Kini hasil royalti yang ditransformasikan ke dalam bentuk wang ihsan akan diuruskan pengagihannya oleh dua agensi iaitu JPP bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) di atas kapasiti Kerajaan Negeri dengan kadar atau nisbah 50-50.

Perhimpunan pada pagi semalam dihadiri oleh hampir 1000 warga Wisma Persekutuan merangkumi 23 agensi Persekutuan di Kelantan. Sebelum itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed mempengerusikan Mesyuarat Bersama 23 Ketua Jabatan Agensi Persekutuan di Bilik Mesyuarat Guna Sama Wisma Persekutuan.

Hadir sama ke program pagi ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Tinggalkan komen anda