Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePulau PinangViral

Serbuk Ketum 2.8 tan Dirampas, Warga Bangladesh Ditahan

By 10 Mac 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh : Mohd Shahrizan Shahabudin / Foto : Shamsul Bahari Abdul Shukor (Georgetown)

GEORGETOWN, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 2.8 tan serbuk ketum dirampas oleh anggota jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Kontinjen  (IPK) Pulau Pinang dalam satu operasi semalam.

Bersama rampasan itu, polis turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 33 tahun bersama peralatan memproses daun ketum.

Ketua Polis Pulau Pinang, CP Datuk Abdul Ghafar Rajab memberitahu satu sidang media di sini tengahari tadi hasil maklumat yang diterima, sepasukan anggota JSJN IPK Pulau Pinang membuat serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan Datuk Keramat yang dipercayai dijadikan makmal memproses bahan tersebut.

“Setelah serbuan dibuat, pihak polis menjumpai sejumlah besar bungkusan lutsinar yang dipercayai serbuk ketum seberat 2838 kilogram yang telah diproses bernilai RM 238,000.00. Polis telah menahan lelaki warganegara Bangladesh tersebut yang dipercayai pekerja di premis terbabit untuk membantu siasatan.”

“Hasil siasatan mendapati, serbuk ketum yang diproses tersebut adalah untuk dieksport ke luar negara, seperti  Amerika Syarikat, Canada, Ukraine, Indonesia dan beberapa buah negara yang lain dengan nilai USD 20.00 sekilogram. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama enam tahun dan rampasan ini merupakan yang terbesar dalam negeri Pulau Pinang”.

Abdul Ghafar berkata, lelaki warga Bangladesh tersebut ditahan reman sehingga 22 Mac dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau kedua-duanya sekali.

 

Tinggalkan komen anda