Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurSelangorViral

Kezaliman Kebudayaan Jika Program DLP Tidak Dimansuhkan

By 10 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) mengumumkan akan menganjurkan himpunan untuk mendesak kerajaan memansuhkan pelaksanaan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) pada 26 Mac ini di seluruh negara.

Ini dinyatakan dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Taman Cemerlang pagi tadi.

Menurut Pengerusi GMP, Profesor Emeritus Shaharir Mohamad Zin, himpunan tersebut akan diadakan serentak di seluruh negara, iaitu di ibu negeri atau bandar-bandar besar, sementara di Kuala Lumpur ia akan diadakan di hadapan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul rahman sebelum berarak ke Dataran Merdeka menggunakan tema pakaian putih.

“Bagi negeri-negeri yang cuti hujung minggu pada hari Jumaat, seperti  negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, perhimpunan akan diadakan pada 25 Mac”, katanya.

Beliau menambah, satu lagi himpunan akan diadakan pada 4 April atas permintaan penyokong di negeri-negeri dan akan dibuat di Dataran Merdeka dengan menyasarkan penyertaan lebih 20 ribu orang.

Program DLP merupakan program rintis di 300 buah sekolah yang layak menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris, selain Bahasa Malaysia bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Reka Bentuk dan Teknologi. Ia bertujuan menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris pelajar secara tidak langsung. Bagi tujuan pelaksanaan DLP, mata pelajaran yang terlibat ialah Matematik dan Sains bagi Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1.

Shaharir mempersoalkan mengapa program rintis DLP itu hanya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) dan tidak di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Beliau merujuk kepada kemungkinan sekolah SJK telah menolak pelaksanaannya, sementara sekolah kebangsaan tidak membantah.

“Strategi kerajaan untuk melaksanakan program tersebut secara kecil-kecilan akhirnya akan mewujudkan dua sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, iaitu aliran bahasa Inggeris serta aliran bahasa Melayu dan sebab itu pihak kami menentangnya kerana kerajaan perlu mewujudkan satu sahaja aliran pendidikan di negara ini,” katanya.

Pengerusi Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Borhan pula berkata, kezaliman kebudayaan akan berlaku sekiranya program ini diteruskan kerana pelajar SJKC dan SJKT dibenarkan belajar dalam bahasa ibunda mereka sedangkan pelajar Melayu pula perlu belajar mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

“Program rintis ini menunjukkan berlaku penafian keadilan kepada pelajar Melayu kerana menjadi  ‘mangsa’, malah kajian pihak kami juga mendapati pada berdasarkan Peperiksaan Tahap 3 (PT3) yang lalu ramai yang gagal memasuki sekolah asrama penuh dalam bidang sains walaupun diturunkan gred”, ujar beliau.

Sementara itu, menjawap soalan media mengenai pihak yang akan mengadakan perhimpunan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa yang sama, Setiausaha Agung ABIM Muhamad Faisal  Abdul Aziz berkata pihaknya tidak berhasrat untuk bertembung dengan mana-mana pihak.

Beliau turut memaklumkan bahawa himpunan tersebut akan disertai oleh parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s), seniman, sasterawan dan individu yang menyokong.

 

Tinggalkan komen anda