Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Usaha Mencari Anggota Tentera Hilang Di Sg Batang Lupar

By 3 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Oleh Iswandy Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 3 Mac  (Malaysiaaktif) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota askar wataniah Mas Asri Wayudi Mas Mashore, 41, yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai Batang Lupar ketika memancing di dermaga komersil Sri Aman, Sarawak kelmarin memasuki hari kedua.

Menurut Ketua Operasi SAR, Mohd Raffy dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, mereka akan meluaskan lagi jarak pencarian kepada 14km berbanding 10km kelmarin bermula pukul 9.00 pagi ini.

Seramai 43 orang yang terbabit secara langsung dalam operasi hari kedua terdiri daripada 10 anggota Bomba, tiga anggota Polis, lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), 14 anggota Bomba Sukarela dan lapan orang anggota RELA. Sebanyak lima buah bot digunakan.

Pasukan SAR dibahagikan kepada dua kumpulan, satu tertumpu di bahagian hulu Sungai Batang Lupar, manakala tiga lagi mencari di bahagian hilir sungai berpandukan jarak yang ditetapkan.

Setakat ini pencarian  hanya dilakukan dipermukaan sungai kerana risiko serangan buaya jika menyelam.

Saksi kejadian, Rafiee Lani berkata mangsa yang berasal dari Kampung Hilir  pada ketika itu sedang membuang air kecil ketika memancing. Dia terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan oleh arus deras dimana pada ketika itu air sungai Batang Lupar sedang pasang.

 

Tinggalkan komen anda