Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeSelangor

Walaupun Mencabar Malaysia Fokus Jadi Hab Halal Global

By 30 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Menurut Laporan State Of The Global Islamic Economy 2015/2016 yang diterbitkan oleh Thomson & Dinar Standard, Malaysia di tempat pertama secara keseluruhan dengan markah 116 dalam tiga sektor, iaitu makanan halal, kewangan Islam dan pelancongan halal,

Demikian menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Seri Profesor Dr.Zaleha Kamaruddin, semasa menjadi ahli panel program Advokasi Ilmuan Majlis Profesor Negara (MPN) di Gombak pagi tadi.

Beliau menambah, penubuhan hub halal adalah usaha bersepadu pelbagai sektor industri meliputi pengeluaran, perdagangan, penyelidikan, penguatkuasaan dan pengeksportan. Malah ia telah menjadi visi dan misi kerajaan bagi merealisasikan Malaysia sebagai hab halal global menjelang 2020.

Menurut beliau lagi, Malaysia berdepan cabaran sukar untuk menjadi hab halal global berikutan kurangnya pengeluaran dan aktiviti eksport barangan serta perkhidmatan halal.

Mengikut dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), produk yang dipasarkan tidak melalui Malaysia tidak boleh memohon Sijil Halal Malaysia. Dalam pada itu, masalah lain termasuk kurang penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mempelbagaikan produk halal dan kurang tenaga mahir dalam bidang pemprosesan produk halal.

Zaleha berkata dalam usaha berkenaan, UIAM memainkan peranan melalui penubuhan Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART) pada Ogos 2011 yang berperanan sebagai pusat penyelidikan dan latihan.

INHART antara yang menyumbang ke arah usaha membangunkan Malaysia sebagai hab halal global, selain menyediakan latihan bagi menyokong potensi sebagai pemain utama dalam industri halal global,” katanya.

Program anjuran MPN dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan Malaysia ini turut disertai oleh Mohd Roslan Mohd Saludin yang mewakili QSR Brands Berhad dan Dr. Sirajuddin Suhaimee mewakili JAKIM sebagai ahli panel.

 

Tinggalkan komen anda