
Oleh Norhazlinawati Mat/ Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
PUTRAJAYA, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hari ini menganjurkan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia 2016 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pertandingan berlangsung di Dewan Ibnu Sina, SMK Putrajaya Presint 9 (1), Putrajaya dan disempurnakan oleh wakil Menteri Wilayah Persekutuan, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Khairudin E.S. Abd Samad.
Pertandingan ini diadakan bersempena Kempen Penghayatan Rukun Negara dalam usaha membantu masyarakat Malaysia lebih memahami semua prinsip Rukun Negara.
Dengan bertemakan “Penghayatan Rukun Negara Teras Penerapan Nilai-Nilai Murni” pertandingan ini menitikberatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
SMK Putrajaya Presint 9 (1) yang mempersembahkan sketsa bertajuk “Pewaris Bangsa” berjaya mengatasi lapan sekolah lain yang menyertai pertandingan ini.
Pasukan mereka yang dianggotai seramai lima pelajar berjaya memenangi wang tunai RM1,500, sijil penyertaan dan membawa pulang Piala Pusingan pada tahun ini.
Sementara itu, SMK La Salle Brickfields dan SMK (P) Bandaraya masing-masing muncul sebagai naib johan dan tempat ketiga.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan WPKL, Haji Mohd Taib Haji Ubah dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Hajah Roaini Jaafar.
Pertandingan ini merupakan anjuran tahun kelima oleh Jabatan Penerangan WPKL.