Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

CTC Mobile Di Machang Tarik 1500 Pengunjung

By 21 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Ab Rashid Mohd Yusoff, Suhaimi Nik Wil & Mohd Sukri Ismail (Machang)

MACHANG 21 Mac 2016 (Malaysiaaktif) – Kesusahan rakyat bukan sahaja berkaitan himpitan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup sahaja, namun kekangan masa untuk berurusan di kaunter perkhidmatan agensi kerajaan juga menjadi salah satu punca bil dan cukai tertunggak. Masyarakat akan lebih sulit apabila agensi-agensi tertentu tidak wujud di pusat pentadbiran daerah berkenaan dan memerlukan mereka ke bandar lebih jauh dan ibu negeri.

Menyedari kesulitan yang dihadapi rakyat khususnya di luar bandar dengan kemudahan agensi kerajaan yang terhad, Program Transformasi Komuniti Bergerak atau CTC Mobile (CTC) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF)  dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta agensi Kerajaan Persekutuan lain secara NBOS telah mengadakan majlis pelancaran peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah Machang, semalam.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan di bawah dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menggunakan pendekatan agensi kerajaan turun padang. Pelbagai agensi terlibat telah membuka kaunter bagi memudahkan rakyat berurusan sama ada membayar bil, cukai jalan kenderaan, pembaharuan lesen memandu dan mykad serta lain-lain perkhidmatan.

Di samping itu, agensi-agensi Kerajaan juga mengadakan pameran bagi memperkenalkan khidmat mereka kepada rakyat secara lebih dekat.

Program sehari yang dikunjungi hampir seramai 1500 orang itu, telah dirasmikan oleh Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang juga merupakan Ahli Parlimen kawasan Machang. Program ini mendapat kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri dengan kehadiran Datuk Faudzi Che Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Yusoff bin Mamat, 63 tahun, salah seorang pengunjung CTC menyarankan agar program sebegini sebaiknya diadakan di kawasan luar bandar yang terletak jauh daripada pusat perkhidmatan agensi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, kemudahan mendapatkan perkhidmatan agensi Kerajaan sudah sedia ada di bandar pusat pentadbiran daerah seperti Machang ini.

“Selain program CTC, Kerajaan Pusat dan Negeri perlu juga memikirkan pendekatan-pendekatan lain yang boleh medatangkan kesejahteraan kepada rakyat”, ujar beliau.

CTC bertujuan memberi kemudahan dan menyediakan khidmat kaunter bergerak pelbagai agensi kerajaan kepada rakyat seperti mana berurusan di pejabat-pejabat kerajaan. Inisiatif ini merupakan satu simbol keprihatinan serta usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa sempadan georafi dan politik.

Tinggalkan komen anda