
Oleh Malini Md Yunos
PORT DICKSON, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Amalan gaya hidup sihat, seperti aktiviti senamrobik Zumba, berjalan sepuluh ribu langkah dan pemeriksaan kesihatan secara berkala penting demi mengekalkan kesihatan.
Ini antara nasihat yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Port Dickson, Malini Md Yunos bersempena program Info Bestari yang dianjurkan melalui Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampung Jimah Baru di Dewan Setia kampung tersebut pada Sabtu lepas.
Menurut beliau program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan menggalakkan penglibatan rakyat pelbagai kaum dalam usaha menjayakan sesuatu program bersama jabatan dan agensi kerajaan dan sekali gus mendekatkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada kumpulan sasaran.
Program ini memberikan tumpuan kepada kepentingan menjaga kesihatan ketika sihat. Sehubungan itu, K1M berperanan sebagai agen perubahan kerana kesihatan boleh menentukan samada sesebuah masyarakat itu aktif seiring matlamat pemasaran dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat.
Sementara itu, menurut Pengerusi K1M Kampung Jimah Baru, Zamri Hj. Musa, cuaca sekarang mendorong lebih 150 orang penduduk menghadiri program ini untuk mendapatkan maklumat tentang cara menghadapi suhu panas yang melanda negara.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak dan zumba.
Program dianjurkan dengan kerjasama Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan Pusat Transformai Luar Bandar (RTC) Kampung JImah Baru.