Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantanViral

‘Masjidil Haram’ Mercu Tanda Baharu Gua Musang

By 25 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Idris Deraman / Norfadzlina Ahmad Fadzli (Gua Musang)

GUA MUSANG 25 Apr (Malaysiaaktif) — Sejak sebeleum merdeka, gelaran ‘Serambi Mekah’ sering kali dikaitkan dengan negeri Kelantan kerana kewujudan institusi pondok yang menjadi pusat pembelajaran kepada masyarakat tempatan.

Selain itu, kemunculan tokoh-tokoh Islam tempatan seperti Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Bachok dan Tok Tumpat yang masing-masing mendapat pendidikan di Mekah merupakan pengasas kepada institusi pondok sehingga memantapkan gelaran tersebut.

Di samping itu, Kelantan turut terkenal dengan Masjid Kampung Laut di Nilam Puri yang dibina tanpa menggunakan paku, tetapi masih kukuh hingga ke hari ini. Kehebatan seni bina dan keutuhan imej membantu memantapkan lagi identiti ‘Serambi Mekah.’

Terbaharu, dalam dua tahun lagi akan muncul satu lagi mercu tanda di bandar Gua Musang yang menyerupai Masjidil Haram di Mekah. Pembinaan 6,317.76 meter persegi di atas tapak seluas kira-kira 1.2 hektar ini bertujuan menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat bilangan di sini.

Berteraskan seni bina Masjidil Haram, masjid ini dianggap ramai penduduk setempat sebagai penyambut ummah di pintu masuk Kelantan dari Pahang, samada melalui Kuala Lipis atau Cameron Highlands.

Menurut arkitek Hairizal Muhammad, konsep pembinaan masjid ini merupakan idea cetusan  Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Terletak di atas tanah milik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), pelan pembinaan diluluskan dengan persetujuan pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pada 13 Ogos 2015. Apabila siap kelak, kompleks ini akan dilengkapi sebuah masjid, empat unit kuarters kakitangan, ruang kelas dan kursus, bilik komputer, perpustakaan dan sebuah struktur kristal hitam seperti Ka’abah.

Bangunan utama masjid akan mempunyai sembilan buah menara setinggi 30 meter yang juga menyerupai Masjidil Haram.

Pembinaan masjid ini dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda