
Oleh Andi Abdul Rohim (Seri Iskandar)
SERI ISKANDAR, 2 Apr (Malaysiaaktif) — Karnival Usahawan Seri Iskandar yang memasuki siri ketiga tahun ini lebih meriah apabila disokong lebih 30 penaja dan mampu menarik kira-kira 3,000 orang pengunjung.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim ketika merasmikan karnival ini, pemilihan Bandar Seri Iskandar sebagai lokasi sangat tepat.
“Bandar Seri Iskandar sedang membangun dengan pesat, termasuklah pusat perniagaan yang dapat membantu perkembangan peniaga tempatan,” kata beliau.
Pengusaha francais Agros Coffee cawangan Perak yang menjual kopi dan Soda Detox, Zainab Nazri, 30, berpendapat karnival ini membantu usahawan muda sepertinya mengembangkan perniagaan. Kebiasaannya, Zainab menggunakan media sosial untuk mempromosikan produknya.
“Menerusi karnival ini secara tidak langsung saya dapat bertemu pengunjung dan mendapatkan maklum balas terus daripada mereka,” kata Zainab.
Adizul Azle, 31, dari Manjung berpendapat program yang diadakan hari ini begitu meriah. Pengunjung dapat membeli barangan daripada pengusaha produk, selain menyertai pertandingan mewarna, pertandingan memasak berpasangan, ceramah agama dan pelbagai aktiviti menarik.
Karnival tiga hari bermula 1 hingga 3 April ini anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui Kolej Profesional MARA Seri Iskandar.
Ia diadakan selari dengan dasar penubuhan MARA yang bertujuan meningkatkan kemajuan dan pembangunan usahawan supaya jurang ekonomi luar bandar dan bandar seimbang.