Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

‘APA Kata Gen Y’ Himpunkan Bakal Guru di UPSI

By 2 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Siti Asmah bt Mat Ali (Tanjung Malim)

TANJUNG MALIM, 2 April (Malaysiaaktif) – Program APA Kata Gen-Y Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pagi tadi menghimpunkan golongan bakal guru untuk sama-sama berkongsi fikiran tentang hala tuju kepimpinan negara.

Program yang mengetengahkan pandangan golongan Gen Y ini membuka ruang kepada mereka membahaskan aspek pembangunan sosial, rohani, pendidikan, patriotisme dan keperluan untuk bersatu mempertahankan tanah air.

Forum dikendalikan oleh Pegawai Unit Latihan dan Perkhidmatan Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas Kuala Lumpur, Hairul Faiezi Lokman.

Panel pembahas terdiri daripada pelajar-pelajar UPSI sendiri, iaitu pendebat Kolej Ungku Omar, Mahendran A/L Duraisamy, Presiden Persatuan Bahasa Melayu, Ku Muhammad Syafiq Ku Mohd Pozi dan Presiden Persatuan Bahasa Jepun, Oh Zi Jian.

 

d6f670cf-d944-4dc6-8e3a-708747f8226b

 

Menurut Mahendran, 23, sikap sayang akan negara perlu ditanam dalam diri semua golongan Gen-Y supaya negara dapat dipertahankan sekiranya berlaku kejadian, seperti pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Sementara itu, Ku Mohammad Syafiq, 23, pula berpendapat golongan belia kini boleh disifatkan seperti ‘katak di dalam kotak kaca’, bukannya katak di bawah tempurung.

“Generasi belia kini seolah-olah terkurung dalam dunia mereka sendiri dengan dipengaruhi oleh media sosial dan suka menyebarkan sesuatu isu tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu,” tambahnya lagi.

Pendapat Ku Muhammad Syafiq disokong oleh Oh Zi Jian, 25, yang menganggap sikap generasi kini cepat dipengaruhi hasutan daripada media sosial seperti Facebook, Whatsapp, dan Instagram.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Perak dengan kerjasama Kolej Ungku Omar, (UPSI).

 

– DZ/AAS

Tinggalkan komen anda