Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanEkonomiHomeViral

Keluhan Penduduk Kampung Triboh Ditangani

By 29 April 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri / Foto: Khirul Nizam Zanil

SERIAN, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Kunjungan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kampung Tun Razak atau lebih dikenali dengan nama lamanya, Kampung Triboh semalam disambut meriah oleh penduduk setempat.

Namun demikian mereka masih tidak lupa akan keinginan untuk melihat kemudahan pendidikan di kampung ini dinaiktaraf, selain dana bagi membantu anak-anak muda untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

 

Pengerusi SIRA - Eli Luntai

Pengerusi SIRA – Eli Luntai

 

Menurut Pengerusi Persatuan Iban-Remun Serian (SIRA), Eli Anak Luntai, 58, dari segi pendidikan, kaum  Iban-Remun ini masih belum begitu berjaya. Jadi, salah satu matlamat penubuhan SIRA pada 2008 ialah bagi membantu golongan muda Iban-Remun mendapatkan pembiayaan pendidikan mereka.

“Saya memohon kepada Perdana Menteri supaya menghulur bantuan kewangan kepada k SIRA bagi membolehkan anak-anak atau pun generasi baru suku kaum Iban-Remun melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Ini satu masalah yang dihadapi kerana kami kebanyakannya golongan miskin tegar.

“Dari segi sekolah, kalau kita lihat sekolah rendah yang ada di sini sudah usang dan mungkin itu sebab pelajar-pelajar tidak bersemangat untuk ke sekolah. Saya mohon supaya peruntukan bagi pendidikan dalam kalangan Iban-Remun diberikan perhatian,” kata Eli.

Kampung Triboh dengan jumlah penduduk seramai kira-kira 900 orang ini merupakan salah satu daripada tiga buah kampung di sini yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah, SMK Serian dan sekolah rendah, SK Melansai.

 

Guru SK Melansai - Lanin Mijan

Lanin Mijan: Kemudahan sekolah yang digunakan 235 pelajar amat uzur.

 

Seorang penduduk di sini yang juga merupakan guru di SK Melansai, Lanin Mijan, 51, berkata infrastruktur dan kemudahan di sekolah itu yang digunakan oleh sejumlah 235 orang pelajar amat uzur dan sudah ketinggalan kerana dibina pada 1984 .

“Sekolah itu memerlukan dewan yang baharu kerana dewan yang digunakan sejak sekian lama bukan dewan dalam erti kata sebenar, tetapi beberapa buah bilik darjah yang dibuka dindingnya untuk digunakan sebagai dewan.

“Ruang tersebut tidak dapat menampung bilangan ibu bapa yang ramai. Sebentar tadi, saya telah memajukan surat kepada Perdana Menteri, kalau beliau prihatin, kita minta bantuan untuk bina sebuah dewan di sekolah, ” ujarnya lagi.

“Saya sebagai seorang pendidik melihat keadaan pelajar-pelajar di sini amat memerlukan dana untuk pendidikan. Sekiranya ada, kami boleh menggunakan dana itu untuk membuat kelas bimbingan, menjemput penceramah motivasi di tempat-tempat yang strategik supaya kami boleh memanggil semua anak-anak kami yang menghadapi peperiksaan seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM,” ujar Lanin.

Sementara itu, terdapat segelintir penduduk di sini yang ingin supaya kemudahan di sekitar kampung mereka dinaiktaraf, terutama untuk kemudahan belia.

 

Sylvia Anak Jawa

Sylvia Anak Jawa: jalan tidak diturap, lampu jalan tidak mencukupi.

 

Seorang penduduk yang ditemui, Sylvia Anak Jawa, 39, berkata kemudahan yang ada di sini lengkap, tapi ada beberapa aspek yang kurang, seperti jalan yang tidak diturap hingga ke rumah-rumah penduduk serta lampu jalan yang tidak mencukupi.

Seorang lagi penduduk, Monica Adiba Anak Stephen, 22, yang merupakan seorang ibu kepada dua orang anak menyokong cadangan Sylvia tentang jalan dan lampu jalan.

 

Monica Adiba Anak Stephen

Monica Adiba Anak Stephen: Tiada tempat untuk belia berkumpul.

 

“Samalah macam Sylvia cakap tadi, minta kemudahan seperti jalan tar, pondok tempat belia berkumpul, kerana pada waktu malam belia selalu lepak di pagar perpustakaan dan pagar tadika. Selain itu, taman permainan juga diperlukan. Taman permainan tu, letak di kilang getah lama tidak dipakai lagi. Senang nak bawak budak-budak jalan-jalan kat sana,” kata Monica.

Pada majlis itu, Najib meluluskan permohonan Eli sebagai wakil mewakili penduduk untuk membina sebuah dewan bahru bagi menggantikan Dewan Panglima Kalin yang merupakan antara dewan yang tertua di daerah ini.

 

– AAS

Tinggalkan komen anda