Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePerak

Paras Air di Kerian Kian Surut, Pesawah Bimbang

By 19 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Farhan bin Abd Rahim (Kerian)

KERIAN, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Rata-rata pengusaha sawah di daerah Kerian kini bimbang ekoran kemarau yang menyebabkan tanah semakin kering kerana kadar taburan hujan tidak mencukupi.

Fasa pertama penyaluran air ke kawasan sawah yang bermula pada 25 Februari lalu tidak dapat meredakan kebimbangan para pesawah terhadap hasil tuaian padi akibat cuaca panas berterusan dan paras Kolam Bukit Merah yang rendah.

 

20160418220100

Paras air yang semakin surut membimbangkan pesawah.

 

Menurut Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Zuriana Ahmad, 34, kawasan sawah di daerah ini dibahagikan kepada lapan bahagian dengan kesemua kawasan mendapat bekalan air, kecuali sawah di Gunung Semanggol dan Selinsing kerana paras air kolam yang rendah.

 

peta pengairan

Kawasan padi di Daerah Kerian: Kawasan A – F telah disalirkan air.

 

Beliau yang ditemui oleh wartawan Malaysiaaktif Kerian semalam, bagaimana pun berkata, air dilepaskan di kawasan Semanggol bagi memastikan dinding terusan kekal lembap.

Menurut Zuriana lagi, paras air kolam yang mencecah tahap tiga, iaitu sedalam 20.4 kaki, kini dianggap kritikal. Sekiranya ia berada di bawah paras 20 kaki, tadahan air hanya mampu menampung penggunaan air untuk kegunaan industri serta domestik dan bukan sawah padi.

Selain menyalurkan air ke kawasan sawah, Pejabat Pertanian Daerah Kerian turut membuat hebahan kepada petani supaya menjimatkan penggunaan air bagi menangani masalah sekarang.

Seorang pengusaha sawah, Mohd Shariff Kamaruddin, 42, berkata sekiranya tiada hujan sebelum waktu menuai yang perlu dilakukan sehingga 25 Mei ini, beliau mungkin akan terkesan berikutan kemerosotan hasil padi.

 

sawahnew

Shariff menunjukkan keadaan tanah sawahnya yang semakin kering.

 

“Rumput mudah membiak sekiranya baja ditabur sewaktu paras air sawah rendah. Ini menyebabkan baja tidak dapat diserap dengan baik akibat kekurangan air dan seterusnya hasil padi akan berkurangan,” ujar Shariff.

Kawasan sawah milik Shariff yang terletak di Kampung Tanah Kebun, termasuk dalam kawasan sawah yang telah disalurkan air di mana padi sudah mula membesar.

 

-DZ/AH/AAS

Tinggalkan komen anda