
Oleh Radiah Abdul Rahim
KUANTAN, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Teknologi merupakan aset utama untuk memungkinkan seseorang menjadi warga global bermaklumat melalui pelbagai kaedah yang berpaut kepada alam siber.
Atas kesedaran ini, seramai 17 orang usahawan, dari tujuh daerah dalam negeri Pahang hari ini menyertai satu program celik Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) kelolaan pentadbir tunggal alamat web .my (Malaysia), MYNIC Berhad.
Program yang diadakan di Bilik Seminar, Open Universiti Malaysia (OUM), Kampus Kuantan, Pahang membabitkan peserta dari daerah Bentong, Bera, Maran, Pekan, Temerloh, Rompin dan Kuantan.
Objektif utama program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) ini yang khusus untuk ahli-ahli Komuniti 1Malaysia (K1M) ialah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang kepentingan penggunaan media sosial dalam mengembangkan perniagaan mereka. Di samping itu, semua usahawan diajar cara membangun, mengurus dan menyelenggara laman web dan menggunakan aplikasi media baharu.
Dengan yuran sebanyak RM250.00 seorang yang ditanggung JaPen ini, peserta dibawa mengenali asas penggunaan media sosial, seperti Facebook dan Instagram secara lebih berkesan. Mereka juga dibimbing dalam penggunaan aplikasi maya lain, termasuk Google Apps untuk perniagaan, WordPress dan sebagainya. Bimbingan diberikan oleh wakil Mynic Berhad, Suzaidee Mohd Shom dan beberapa orang petugas lain.
Majlis penutup program ini disempurnakan oleh wakil Pengarah JaPen Pahang, Mohd Lokman Mahmud.