
Oleh Fauzrina Hj Bulka / Video: Muhamad Fitri (Melaka)
MELAKA, 18 Apr (Malaysia) – Seorang pelajar Universiti Teknikal Melaka (UteM), Senkiran Dharma, 24, semalam melafazkan kalimah syahadah setelah menerima penerangan berhubung persoalannya tentang Islam daripada pendakwah Dr. Zakir Naik dalam ceramah bertajuk ‘Islam – Masalah dan Penyelesaiaian Kepada Kemanusiaan (‘Islam – Problem and Solution to Humanity’.)
Senkiran yang mula mendalami dan mempelajari agama Islam sejak tiga tahun lalu berkata, tindakannya menukar agama itu dilakukan dengan rela hati tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.
Menurut Senkiran, hasratnya untuk memeluk Islam menjadi lebih kuat setelah kembarnya berbuat demikian.
Beliau menitiskan air mata selepas mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Dr Zakir yang kemudian menghadiahkannya senaskah Al-Quran.
Syarahan yang berlangsung di Dewan Besar UTeM itu dihadiri lebih 20,000 orang hadirin, termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Senkiran, pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik Komunikasi merupakan orang keenam memeluk agama Islam semasa sesi syarahan pendakwah antarabangsa berasal dari India itu di Malaysia.
Khamis lalu, seorang gadis, Wu Nina Grace, 19, juga memeluk Islam semasa syarahan Dr. Zakir di Padang Astaka, Kemaman, Terengganu, manakala empat orang lagi termasuk seorang warganegara India memeluk Islam di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Sabtu.