Skip to main content
HomeViral

Guan Eng Akan Dipanggil Bantu Siasatan Dalam Masa Terdekat

By 18 April 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

GEORGE TOWN, 18 Apr — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membantu siasatan berhubung pembelian banglo berharga RM2.8 juta dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata siasatan berhubung kes itu sedang giat dijalankan dan bahagian operasi SPRM akan menetapkan tarikh dan lokasi untuk mengambil keterangan Lim.

Beliau berkata keterangan Lim akan diambil untuk melengkapkan siasatan SPRM berhubung pembelian banglonya di Jalan Pinhorn sini tahun lepas.

“Bahagian Operasi ada perancangan mereka sendiri bila masa yang sesuai nak ambil keterangan Lim dan mereka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya di sini Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) PBA Holdings Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jaseni Maidinsa di sini.

Terdahulu, Lim pada majlis sama berkata beliau belum dihubungi oleh SPRM untuk diambil keterangan.

“Perjumpaan kami hari ini hanya berkenaan dengan CIP dan hal-hal lain kami tidak bincang,” katanya.

Lim didakwa membeli banglo itu yang terletak di Jalan Pinhorn di George Town, Pulau Pinang pada harga di bawah nilai pasaran dan didakwa mempunyai kaitan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis.

Lim telah menafikan dakwaan itu dan SPRM memulakan siasatan sebaik menerima laporan mengenai perkara berkenaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda