
Oleh: Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Pasukan Selamat Pagi Malaysia (SPM), Radio Televisyen Malaysia (RTM) muncul juara Pertandingan Bowling Media Strikes Again 2016 dengan 1,311 jatuhan pin mengalahkan 32 pasukan lain yang bertanding, pada Jumaat lalu.
Pasukan SPM RTM itu membawa pulang wang tunai RM 1,000 dan hamper manakala Sinar Harian di tempat kedua dengan 1,302 jatuhan pin menerima RM800 serta hamper diikuti Bernama (Ekonomi) di tempat ketiga 1,218 jatuhan pin menerima RM600 dan hamper.
Sementara itu, salah seorang ahli pasukan Selamat Pagi Malaysia RTM, Sapwan Ashaari, turut memenangi Jatuhan Pin Terbanyak Kategori Lelaki dengan jumlah sebanyak 378, manakala bagi Kategori Wanita pula dimenangi oleh peserta TV3, Adibah Abd Wahab dengan 313. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan hamper.
Bertempat di Ampang Superbowl, Berjaya Times Square, pertandingan ini menyaksikan 21 agensi media bertanding bersama pasukan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Memasuki tahun keempat, pertandingan anjuran Japen itu bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama antara para pengamal media dengan JaPen.
Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman merasmikan pertandingan tersebut.
-SF