
Oleh Sazaki bin Abdul Rahman (Kuala Lumpur) / Foto: Mohd Arshad Yahya
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Malaysiaaktif) – “Pengalaman mengembara secara ‘backpackers’ (pengembara beg galas) dan menaiki pengangkutan awam memberikan pendedahan pelajar pendidikan khas berdikari dan menguruskan diri”.
Demikian dinyatakan oleh Guru Pendidikan Khas SMK Tun Syed Zahiruddin, Merlimau, Mohd Arshad Yahya semasa Majlis Ekspedisi Kereta Api Pengakap di KL Sentral hari ini.
Menurut beliau, ekspedisi keretapi dan bas ekspres ke Kubu Gajah, Perak ini disertai seramai 10 pelajar hyper aktif, disleksia dan austisme bersama seramai 70 orang pengakap dan 10 orang guru pengiring
Arshad berkata menerusi inisiatif seumpama ini pelajar pendidikan khas yang tidak tahu membaca, bergaul dan hyper aktif didedahkan kepada semangat kerjasama, pengurusan diri, survival, bergaul bersama pelajar lain dan membiasakan diri dengan aktiviti-aktiviti lain secara rutin.
Beliau berkata kesilapan besar ibu bapa yang mempunyai anak khas ialah kerana mereka sering mengasingkan dan tidak menggalakkan anak mereka bergaul dengan rakan sebaya dan masyarakat. Ini mengakibatkan keadaan anak mereka menjadi lebih teruk dan sukar dibendung.
Sehubungan itu, beliau berkata ibu bapa perlu turut serta dalam usaha memberikan sokongan moral dan memantau sendiri perkembangan anak-anak mereka bagi penambahbaikan program khusus untuk golongan ini di masa akan datang.
Pelepasan ekspedisi anjuran bersama SMK Tun Syed Zahiruddin dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini disempurnakan oleh Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Zakran Abdul Mana bersama kehadiran Pengurus Kanan Pemasaran KTMB City, Datuk Hamdan Khusairi.
Antara pengisian ekspedisi, termasuk aktiviti perkhemahan dan program radio amatur.