Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kerajaan Terus Martabat Padi Sabah – Yahya

By 23 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Mei (Malaysiaktif) –? Kerajaan menerusi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), sebuah agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia akan terus memartabatkan produk pengeluaran padi tempatan ke peringkat global.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, kerajaan terus  mempromosi kepelbagaian beras tempatan yang mempunyai ciri-ciri istimewa serta menepati cita rasa pengguna.

“Saya berharap kempen ini akan menggalakkan orang ramai mengenali kepelbagaian beras tempatan sekali gus meningkatkan permintaan serta menggalakkan penanaman secara besar-besaran,” katanya semasa merasmikan Kempen Makan Beras Tempatan, semalam.

????????????????????????????????????

Tambahnya, bagi memperkasa pesawah di Sabah dan Sarawak, pihak kerajaan telah memperkenalkan pemberian skim subsidi baja dan racun khusus bagi tanaman padi tempatan yang meliputi padi bukit atau padi huma.

“Peruntukan RM70 juta yang telah diumumkan Perdana Menteri pada 2015 akan memberi manfaat dari segi kemajuan sosial dan ekonomi pesawah di Sabah dan Sarawak.

“Pesawah diharap dapat meningkatkan hasil daripada satu tan per hektar ke dua hingga tiga tan per hektar lebih -lebih lagi harga jualan beras tempatan mencecah lima ringgit sekilogram dan dikategorikan sebagai beras premium,” jelasnya.

Yahya juga berharap dengan penubuhan empat buah IADA baharu ?iaitu di Pekan, Rompin, Batang Lupar dan Kota Belud menerusi peruntukan RM1.2 billion bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-11 mampu meningkatkan pengeluaran padi serta menjamin bekalan makanan negara.

“Penubuhan empat kawasan IADA akan dapat membantu negara mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) kepada 100% menjelang tahun 2020 dan secara tidak langsung akan menurunkan import beras negara,” ujarnya.

Pada kempen tersebut masyarakat berpeluang mengenali lebih dekat pelbagai produk beras tempatan yang setanding dengan beras import seperti Beras Bandar, Kondipin, Sylvia, Wangi, Parai Emas, Parai Watu, Naru Todung, Parai Manuk dan Pahu.

SF

Tinggalkan komen anda