Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Keselamatan Pantai Timur Sabah Terus Diperkukuh – Najib

By 29 Mei 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Yahya Abdul Rajak & Abdul Sani Ariff Lokman (Sabah)

LAHAD DATU, 29 Mei (Malaysiaktif) – Keselamatan, kedaulatan dan pertahanan negara terutama di Pantai Timur Sabah terus diperkukuh dan dipertingkat untuk membuktikan Sabah milik Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, insiden pencerobohan yang berlaku di Daerah Lahad Datu pada 2013 masih jelas dalam ingatan dan impaknya memberi kesedaran kepada kewujudan Zon Keselamatan (ESSZONE) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebagai usaha mempertingkat keselamatan di kawasan terbabit.

Tambahnya, tiga dimensi usaha dilakukan kerajaan iaitu mempertingkat keselamatan maritim pantai timur Sabah, memantapkan pertahanan udara dan memperkukuh pertahanan di darat Sabah.

“Dalam memantapkan pertahanan udara, kerajaan telah memperuntukkan RM 40 juta bagi menaik taraf pesawat Hawk secara berperingkat agar dapat terus menangani ancaman di Sabah dan Sarawak.

“Kementerian Pertahanan akan menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu sebagai pangkalan Operasi Hadapan (Forward Operating Base (FOB) untuk helikopter Angkatan Tentera Malaysia dengan mengatur helikopter milik TUDM dan TD termasuk enam helikopter tempur ringan MD530G serta empat helikopter S70A Blackhawk,” katanya ketika merasmikan pecah tanah Pangkalan Operasi Hadapan Helikopter di lapangan terbang Daerah Lahad Datu, di sini semalam.image

Tambahnya, bagi mempertingkat keselamatan maritim, dua Pangkalan Laut (Sea Basing) telah dibangunkan di Pangkalan Laut Tun Azizan (PL TAZ) yang beroperasi pada 15 Mei lalu di Perairan Sandakan dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) pada 1 Ogos 2015 di perairan Lahad Datu yang dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.?

“Pangkalan laut ini dilengkapi sistem radar serta dapat menampung sehingga enam buah bot tempur selain heli pad bagi pendaratan helikopter.

“Bagi menyokong operasi pangkalan laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengatur empat buah bot tempur CB90 dan sebuah helikopter bertindak sebagai force multiplier.

“Markas Angkatan Bersama (MKAB) pula turut mengatur 20 bot melibatkan 10 bot RHIB Viper dan 10 bot Rover Stingray bagi meningkatkan rondaan, show of presence dan cegah rintang.

“Pengukuhan pertahanan di darat juga akan dimajukan dengan mengatur 12 buah kenderaan perisai AV8 Gempita di Kem Kukusan, Tawau pada 14 Januari lalu selain menambah 18 buah kenderaan perisai Malaysia Infantry Fighting Vehicle (MIFV) di Kota Belud.

“Mengambil kira perkembangan sempadan darat Sabah dan Sarawak, ATM menubuhkan 31 Briged Sempadan bagi mengimbangi bebanan tugas pasukan infantri kawalan daratan sepanjang 2,019.5 KM di Sabah/Sarawak-Kalimantan,” ujarnya.

Katanya, kerajaan meningkatkan kerjasama dan polisi keselamatan serantau dengan mengadakan perbincangan dengan Indonesia dan Filipina dengan mengambil model Malacca Straits Patrol (MSP) sebagai rangka kerja Prosedur Operasi Standard rondaan tiga buah negara.

SF

Tinggalkan komen anda