
Oleh Azmi Abd. Rahman
PASIR PUTEH, 11 Mei (Malaysiaaktif) — Dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM1,750, seorang penduduk di sini, Che Zaini bin Che Lah, 56, membuktikan keupayaan untuk berdiri sebagai pengusaha ladang madu kelulut.
Bermula dengan hanya lima buah sarang yang didapati dari Thailand sebagai permulaan ladangnya kini mempunyai 200 sarang sejak dimulakan pada 2009. Selain dibeli, Che Zaini juga mendapatkan sarang kelulut di dalam hutan.
Beliau juga pernah mengikuti pelbagai kursus berkaitan dan mendapat bimbingan daripada Persatuan Penternak Kelulut Malaysia.
Che Zaini berkata, madu kelulut mendapat pasaran baik di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Satu kilogram madu dijual dengan harga RM240 jika pemborong datang mengambil sendiri. Walaubagaimana pun, penduduk tempatan juga turut menjadi pelanggan dalam pembelian secara kecilan. Beliau berhasrat untuk mengembangkan perusahaan ini dengan membuka ladang kelulut yang lebih besar dan pasaran ingin diperluaskan ke peringkat pasaran antarabangsa.
Menurutnya, madu disedut secara berkala, iaitu dua atau tiga kali sebulan,setiap sarang mampu menghasilkan madu hampir satu kilogram.
“Walaupun memperoleh pendapatan lumayan, perusahaan ini berisiko tinggi kerana berdepan masalah pemangsa, seperti semut dan anai-anai,” ujar Che Zaini.
Setakat ini beliau memilikki empat spesis kelulut, iaitu jenis kaki panjang, kaki pendek, besar dan kecil. Setiap spesis kelulut ini menghasilkan madu yang berlainan rasa.