Oleh Norhayani Hashim
KEPALA BATAS, 12 Mei (Malaysiaaktif) — Minat terhadap kenderaan lama yang tercetus sejak 16 tahun lalu hari ini menghasilkan koleksi beberapa buah kereta dan motosikal milik Haji Yusof.
Sejak tahun 2000 beliau telah berjaya mengumpulkan motosikal lama jenis Honda Cub 50cc, Honda CB100, Honda Monkey 1, Honda C100 dan Vespa model retro.
Haji Yusof mula mengumpul motosikal lama apabila dia mula pencen, dan dari setahun ke setahun koleksinya semakin bertambah.
Antara koleksi kereta lama yang dimilikinya termasuk lima buah kereta Volkswagen Beetle, sebuah van Volkswagen Kombi dan sebuah kereta Volkswagen Variant.
Selain itu, dia juga menyimpan dua buah kereta ‘sedan’ jenis Mercedes Benz model 123.Menurut Haji Yusof lagi antara kereta termahal dalam koleksinya ialah sebuah Volkswagen Variant dengan anggaran harga sekitar RM60 ribu hingga RM70 ribu, sementara yang paling lama dimiliki,Volkswagen Beetle model 1966 yang sekarang bernilai sekitar RM20,000 hingga RM30,000.
Beliau sebenarnya memiliki lima buah kenderaan Volkswagen, tetapi telah memberikan sebuah kepada anaknya yang tinggal di Shah Alam, Selangor, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan setelah terbabit dalam kemalngan dan sekarang disimpan dalam stor rumah seorang lagi anaknya di Permatang Bertam di sini.
Permintaan terhadap kereta Volkswagen lama telah mendorong beberapa orang peminat membuat tawaran untuk membeli van Volkswgen Kombinya, tetapi ditolak.
Haji Yusof berkata untuk membaiki kereta Volkswagen tidak terlalu mahal kerana kereta jenis ini memakai enjin disejukkan oleh air (water-cooled engine) yang memerlukan perbelanjaan antara RM100 hingga RM200 untuk sekali servis.
Beliau juga menyertai Kelab Kereta Penang Volkswagen Owner’s Club, iaitu kelab penggemar kereta Volkswagen yang berdaftar sejak empat tahun lepas dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diadakan.
Alat ganti kereta-kereta koleksinya diperoleh di sekitar Pulau Pinang, sementara aksesori didapati dari Kuala Lumpur, Melaka atau pun Thailand.
Ayah kepada empat orang anak lelaki dan tiga anak perempuan ini menggunakan identiti ‘Navy 78’ pada setiap kenderaannya sebagai kenangan zaman perkhidmatannya dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).