
Oleh: Muhamad Zaini Dollah (Butterworth)
Butterworth, 22 Mei 2016 (Malaysiaaktif) – Hampir 500 pengunjung membanjiri Pantai Bersih di sini malam tadi untuk menyaksikan Persembahan PENTARAMA.
Persembahan PENTARAMA yang menyajikan hiburan bermaklumat serta adunan segmen tradisi dan moden berjaya mencuri perhatian terutama golongan remaja untuk terus menonton persembahan ini hingga akhir.
Berkonsepkan “Hiburan Bermaklumat Ceria Berinformasi”, persembahan PENTARAMA yang terdiri daripada penerangan melalui nyanyian, tarian dan sketsa, merupakan satu alternatif baru Jabatan Penerangan Malaysia dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat berhubung isu-isu semasa.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Utara, Ibrahim Hashim, orang ramai terutamanya remaja harus mengambil iktibar dan pengajaran daripada sketsa penyalahgunaan dadah agar tidak terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu.
Katanya kesan aktiviti tidak bermoral seperti dadah adalah amat buruk terhadap diri sendiri dan masa depan negara.
Program ini merupakan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara dengan kerjasama Komuniti 1Malaysia Bagan Ajam.
– AH