Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Polis Serius Anggota Bocor Laporan Dalam Media Sosial

By 20 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

[EKSKLUSIF] MELAKA, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius pembocoran laporan atau maklumat oleh anggotanya, terutama yang disebarkan dalam media sosial.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata banyak sebab kebocoran berlaku, termasuk kemungkinan kelalaian pegawai yang mengendalikan sesuatu laporan atau di peringkat penyiasatan yang membabitkan pegawai dan anggota.

Beliau turut merujuk kepada perubahan zaman dan teknologi komunikasi canggih, khususnya media sosial hingga mudah membuka ruang untuk membocorkan maklumat sulit kerajaan.

 

360b86d6-e545-4a3f-8ae6-d5705ea765fd

Tindakan tatatertib ke atas yang membocorkan maklumat – Datuk Ramli Din, Ketua Polis Melaka.

 

Ramli juga akur bahawa perkongsian laporan polis dalam media sosial sedikit sebanyak menjejaskan siasatan yang dijalankan, terutama berkaitan jenayah domestik.

“Dalam isu ini pihak kepimpinan Polis Diraja Malaysia amat memandang serius dan arahan- berkenaan telah banyak kali dikeluarkan bahawa tindakan tatatertib akan diambil pada yang membocorkan maklumat-maklumat sedemikian sebab siasatan masih berjalan dengan giat,” ujarnya.

Dalam pada itu Ramli berkata pembocoran maklumat atau laporan sedikit sebanyak menjejaskan penyiasatan yang dijalankan dan sekiranya kebocoran sesuatu laporan menjejaskan reputasi pengadu, mereka boleh membuat laporan polis,” kata Ramli kepada Malaysiaaktif.

“Tindakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang terlibat kerana membocorkan maklumat-maklumat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Malaysiaaktif di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini semakin kerap laporan polis yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu, termasuk orang awam disebarkan dan dikongsikan dalam media sosial, termasuk Whatsapp dan Facebook.

Perkara ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang menganggap ia boleh menjejaskan imej, reputasi si pembuat laporan, selain memberikan kesan negatif kepada usaha penyiasatan oleh pihak berwajib. Ini kerana mereka menganggap sesuatu laporan polis adalah urusan peribadi di antara si pelapor dan pihak polis

 

-AAS

Tinggalkan komen anda