
Oleh : Wan Muhammad Zikri Wan Kamis
KANGAR, 25 Mei 2016 ( Malaysiaaktif) – Karnival Usahawan Perlis (KUP) 2016 tetap diteruskan walaupun persiapannya teruk dilanda ribut kuat semalam. Kebanyakkan khemah rosak teruk semasa kejadian tersebut.
Menurut Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Perlis, Noor Nazatul Azira Bt. Shahidan, khemah yang rosak melibatkan kawasan khemah pameran dan jualan industri asas tani dan pameran Jabatan dan agensi kerajaan.
Beliau berkata, khemah pulih seperti sediakala pada pukul 9.30 pagi tadi setelah usaha berterusan oleh pihak urusetia bagi memastikan usahawan dan agensi dapat mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka sempena Karnival ini.
Kejadian ribut besar yang melanda negeri Perlis kelmarin merosakkan 20 khemah yang didirikan untuk Karnival Usahawan Negeri Perlis 2016 di Perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
KUP adalah gabungan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2016, Road To Malaysian Agriculture Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2016, Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2016, Minggu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), Mobile Wheeler MARA, Karnival Mempelam Harumanis dan ditutup degan Perlis Marathon 2016.
Karnival yang berlangsung dari 25 hingga 29 Mei 2016 akan dirasmikan oleh DYTM Raja Muda Perlis pada hari Khamis, 26 Mei pada jam 3.00 petang.
Seramai 219 usahawan turut serta dalam Karnival Usahawan Negeri Perlis pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran helikopter, pertunjukan payung terjun, pameran haiwan ternakan, pameran perikanan, forum perdana dan pelbagai lagi acara menanti pengunjung.