
Oleh Mohd Shahfuri Saidan Khadri (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan siri setem ‘Pengangkutan Sungai di Sarawak’ pada 26 Mei 2016.
“Siri setem yang akan dikeluarkan menampilkan tiga pengangkutan sungai utama di Sarawak, iaitu Perahu Panjang (70sen), Bot Ekspres (80sen) dan Perahu Tambang (90sen), manakala Lembaran Mini akan menampilkan Rakit (RM3.00)”.
Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah berkata demikian ketika ditemui dalam Perasmian River Transportation in Sarawak di Galeri Setem, Ibu Pejabat Pos Kompleks Dayabumi, hari ini.
Tambahnya lagi, “Disamping itu, produk filateli lain turut dijual seperti Sampul Surat Hari Pertama (FDC), risalah berharga 55sen setiap satu dan folder dijual pada harga RM6.35 setiap satu. Set lengkap siri setem ‘Pengangkutan Sungai di Sarawak’ ini boleh didapati dengan harga RM64.25 setiap satu”.
“Pengumpul setem di seluruh negara diminta jangan lepaskan peluang pada tarikh tersebut untuk menambahkan siri setem ini sebagai sebahagian daripada koleksi,” katanya lagi.
Pengeluaran Siri Setem Pengangkutan Sungai merupakan sebahagian daripada usaha Pos Malaysia dalam mendidik pengumpul setem dan orang ramai mengenali kepelbagaian jenis pengangkutan di Malaysia serta memelihara warisan negara melalui koleksi setem.