
Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA KINABALU, 21 Mei (Malaysiaktif) –? Kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) disaran mencari titik keseimbangan dalam kehidupan sebagai penjawat awam yang cemerlang.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM, Datuk Dr. Mohd Ali Mohamad Noor, penting untuk semua kakitangan kementerian memberikan fokus antara kerja, diri sendiri dan kehidupan berkeluarga kerana kesemua elemen tersebut saling berkait.
“Sudah pasti kita tidak dapat laksanakan tugas dengan berkesan sekiranya jatuh sakit atau mempunyai masalah keluarga.
Oleh itu, seimbangkan antara komitmen kerja, diri sendiri dan keluarga agar tidak terabai salah satunya sekali gus membentuk penjawat awam yang berproduktiviti tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015 dan Jasamu Dikenang KKMM 2016 Peringkat Negeri Sabah semalam.
Beliau merakamkan penghargaan kepada kakitangan yang telah dan akan bersara atas segala sumbangan yang dicurahkan dengan penuh dedikasi sepanjang dalam perkhidmatan.
Pada majlis itu, seramai 76 orang pegawai dan kakitangan agensi KKMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Khas, BERNAMA dan FINAS menerima sijil penghargaan dan sijil simpanan premium sebanyak RM 1000.
Manakala 39 orang pegawai dan kakitangan yang telah dan bakal bersara juga menerima sijil penghargaan.
Turut hadir Ketua Pengarah JaPen, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
-SF/AAS