
Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 307,770 pekebun kecil pemilik pengusaha hari ini menerima Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah sebanyak RM500 seorang, dengan jumlah keseluruhan RM194 juta.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bantuan berkenaan adalah untuk meringankan kos sara hidup berikutan kejatuhan harga getah di pasaran.
“Ini bukanlah kerana Pilihan Raya Kecil sebab kita dah buat pada 2013, 2014, dan ini kali ketiga kita beri bantuan… Ini soal soal kebajikan kepada masyarakat luar bandar,” ujar Najib pagi tadi di Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2016 di Dewan Jubli Perak.
Pada majlis yang sama, 80,000 penoreh yang tidak memiliki kebun sendiri juga turut menerima bantuan.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pelancongan dan kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahidan Kassim.
-DZ/AAS