
Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar kali ini memperlihatkan saingan sengit antara dua parti utama di sini, Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Menurut calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, setakat ini kempen-kempen yang dijalankannya berjalan dengan baik.
“Saya rasakan saingan bagi PAS adalah Barisan Nasional sebab dia merupakan parti pemerintah yang menggunakan seluruh jentera kerajaan bagi berkempen untuk Barisan Nasional. Jadi saya rasa, yang terlayak sekali saingan PAS adalah BN, bukan parti-parti yang lain,” jelas Najihatussalehah.
Tambahnya, walaupun mendapat respon positif daripada pengundi yang ditemui, dia menjangkakan saingan sengit antara PAS dengan BN.
“Insya-Allah saya yakin saya boleh menang, dengan kemenangan yang sangat-sangat tipis. Mungkin pihak BN juga merasakan begitu… Ini Pilihan Raya Kecil, jadi mungkin kehadiran pengundi itu tidak sampai lah 75%, saya anggarkan mungkin dalam 75% ataupun kurang daripada 75% yang keluar mengundi, jadi kita dah buat projection lah dalam undian-undian yang kita akan dapat,” kata Najihatussalehah.
Mengulas mengenai calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 49, yang menyatakan wanita tidak boleh memimpin, Najihatussalehah berkata, pandangan Izat itu sudah ketinggalan zaman.
“Kita lihat sendiri dalam sirah Rasulullah S.A.W pun, Siti Aishah sebagai pendidik kepada ummah, menjadi rujukan kepada para ulama. Siti Aishah R.A. meriwayatkan banyak hadis Rasulullah, jadi kenapa dia harus bertindak begitu? Dia agak kebelakang bagi saya, kita dah jauh ke depan,” tegasnya.
-DZ