
Oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang pekerja tokong Soh Chai Ying, 33 merayu orang ramai agar dapat membantu mencari bekas suaminya yang mengalami gangguan mental.
Chan Chee Hoong, 38 dikatakan melarikan diri daripada pusat kebajikan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas dan Anak Yatim Nazareth pada Ahad lepas semasa dikatakan pergi mandi.
“Saya mendapat panggilan daripada penjaga kira-kira pukul 12 tengah hari memaklumkan dia melarikan diri selepas menolak pekerja di pusat tersebut,” ujarnya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah petang semalam.
Menurutnya, seorang teman menelefon pada pukul 8.00 malam hari yang sama dia dimaklumkan melarikan diri. Suaminya dikatakan kelihatan di AEON Bandaraya Melaka, namun usaha mencari selama dua hari menemui kegagalan.
Tambahnya, dia telah cuba mencari di kawasan sekitar, termasuk Klebang, Tanjung Keling, Pulau Gadong dan Malim sambil bertanya penduduk sekitar dengan menunjukkan gambar suaminya namun masih tidak menemui sebarang petunjuk.
Menurutnya, kali terakhir bekas suaminya dilihat memakai baju T berwarna merah dan berseluar pendek jeans paras lutut. Dia turut mewar-warkan hal tersebut di laman sosial Facebook namun tidak menunjukkan hasil yang positif.
Beliau merayu bantuan orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak polis jika menemui sebarang petunjuk kehilangan bekas suaminya itu kerana suaminya tidak membawa kad pengenalan diri.
“Walaupun kami sudah berpisah, saya sangat risau memikirkan keadaannya yang sudah tentu tidak makan, dan paling menakutkan jika terlibat dengan kemalangan jalanraya,”ujarnya.
“Saya berharap jika dapat menemuinya semula, saya akan menghantarnya ke Hospital Tampoi kerana yakin ada doktor yang boleh menjaga dan merawat beliau,” katanya.