
Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Volintine S.Jiloh (Sabah)
KOTA KINABALU, 6 Jun (Malaysiaktif) –? Toh Puan Rahimah Stephens serta seluruh ahli keluarga masih merindui suaminya, Allahyarham Tun Fuad Stephens.
Rahimah, 85, berkata perasaan rindu terhadap Fuad tidak pernah padam kerana Allahyarham seorang yang amat rapat dengan anak-anak dan selalu berbual-bual serta makan bersama mereka pada waktu lapanganya.
“Fuad selalu berpesan kepada lima orang anaknya, walaupun mempunyai kelulusan akademik yang tinggi tetapi perlu pandai menjaga diri dan menjadi orang yang berguna,” katanya ketika ditemui selepas Upacara Memperingati ‘Double Six’ di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, pagi tadi.
Upacara ‘Double Six’ merupakan acara tahunan bagi memperingati kemalangan udara pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan enam orang pemimpin negeri dan lima penumpang lain. Pesawat ringan jenis GAF Nomad yang berlepas dari Lapangan Terbang Labuan itu terhempas di Sembulan semasa menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Pada majlis itu, seluruh hadirin bertafakur selama seminit untuk mengenang mereka yang terkorban seterusnya diikuti dengan upacara meletakkan karangan bunga yang didahului oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah.
Hadir sama untuk meletakkan karangan bunga ialah wakil daripada keluarga Allahyarham Datuk Salleh Sulong, keluarga Mendiang Datuk Peter Mojuntin, keluarga Mendiang Datuk Chong Thien Vun dan keluarga Mendiang Datuk Darius Binion.
Turut hadir memberikan penghormatan ialah Mayor Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Yeo Boon Hai dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra.
SF