
Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya) / Foto/Video: Diyana Zamri
KUALA KANGSAR, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Hari pertama Ramadan tahun ini membawa kelainan bagi keluarga calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.
Anak sulung Mastura, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 26, berkata demikian kepada media ketika melawat Bazar Ramadan bersama dua adiknya Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19.

Wan Emir bersama peniaga murtabak, Mohd Hafizi Ahmad Zubir, 26, di Bazar Ramadan Kampung Sayong Lembah.
“Sahur pun ada lah perasaan kekok itu, satu kerusi kosong kan… Mungkin agaknya malam ini pun perasaan yang samalah. Tapi tidak apa, walaupun dalam keadaan sedih itu, kami sekeluarga tetap semangat untuk menghadapi kempen ini, dan ibu pun memang cukup bersemangat, sebab nak memimpin orang Kuala ini kita kena semangatlah,” ujar Wan Emir.
Sementara itu, anak bongsu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Wan Amar paling terkesan dengan kehilangan mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu.
“Saya adik bongsu, saya selalu duduk rumah, sebab mereka bertiga semua asrama, saya seorang sahaja yang duduk rumah. Itu ada hikmahnya kenapa dia kena pergi awal, jadi saya dapat luangkan masa dengan dia,” jelas Wan Amar.
-DZ