
Oleh Zuraidah Ahmad & Johny G.Kimlon (Sabah)
SIPITANG, SABAH, 25 Jun (Malaysiaktif) –? Ketua Umno Bahagian Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad menyifatkan keputusan dibuat Presiden dan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, semalam, adalah tepat untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli akar umbi.
Dalam mesyuarat tersebut, MT sebulat suara memutuskan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat, manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahlian sehingga MT menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.
“Tindakan yang diambil oleh Presiden parti oleh Ahli Majlis Tertinggi ini memamng tepat kerana perkara ini menjadi luahan hati ahli akar umbi kalau tidak diambil tindak tegas akan melemahkan keyakinan anggota parti terhadap perjuangan.
“Jika sudah bertindak di luar daripada parti, langkah memecat itu adalah tepat bagi mereka yang sudah tidak sehaluan dan bertentangan dengan prinsip apatah lagi kalau pemimpin itu menyokong parti yang boleh menghancurkan parti sendiri, perpaduan dan organisasi.
“Dalam perjuangan ini, yang penting adalah ketaatan kesetiaan dan mengukuhkan pepaduan demi kepentingan parti dan tonggak kerajaan kerana dalam Islam juga menganjurkan orang yang menajdi ketua itu perlu ditaati selagi dia tidak melanggar prinsip asas,” jelasnya kepada media ketika diminta mengulas mengenai keputusan berkenaan.
Beliau ditemui semasa Majlis Inspirasi Ramadan Bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di Masjid Imam Haji Hashim di sini, pada Jumaat.