
Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Johny G.Kimlon (Sabah)
KOTA KINABALU, 25 Jun (Malaysiaktif) –? Masyarakat diminta berhubung terus dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Pusat Zakat Sabah (PZS) berhubung urusan sumbangan kepada 14 pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir yang kini tersebar menerusi media sosial.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata Kerajaan Negeri melalui PZS membiayai 30 pelajar, termasuk 14 pelajar yang mengambil bidang Tahfiz Al-Quran dan Perubatan di Universiti Al Azhar yang diviralkan.
“Masyarakat diharap tidak terkeliru dengan maklumat – maklumat sebegini kerana boleh mengundang persepsi negatif seolah-olah pihak kerajaan tidak memberikan sebarang bantuan kepada pelajar tersebut.
“Mereka sedang berkursus di Biro Tatanegara sebagai salah satu keperluan sebelum dihantar ke Mesir selepas Ramadhan ini.
“Kita minta masyarakat agar merujuk terlebih dahulu kepada MUIS dan PZS sekiranya ingin menyalurkan bantuan dan mengelakkan nama para pelajar ini dieksploitasi oleh pihak tertentu,” katanya selepas menyampaikan bantuan pada Majlis Penyampaian Sedekah Jariah Al Mubarak di Masjid Bandaraya,Kota Kinabalu, pagi tadi.
Arifin turut mengucapkan tahniah kepada Masjid Bandaraya kerana meneruskan program tahunan itu sejak 16 tahun yang lalu.
Dalam majlis itu, seramai 210 orang asnaf terdiri dari ibu tunggal, warga tua, anak miskin dan yatim menerima sumbangan daripada tiga penderma, iaitu Datuk Abd Kadir Sikandar, Fazal Rahman dan Awang Abdul Hamid Ismail.
Hadir sama Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Penasihat Masjid Bandaraya,Datuk Hj Yusuf Bin Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Bandaraya, Datuk Hj Abd Jamal Tun Sakaran.