Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Kesedihan dan Kesyukuran Mewarnai Ziarah Kasih Ramadan

By 20 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Khairunnisa Abd Rahman / Foto oleh Norhafisha Ramli

 JASIN, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Lima orang di Kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai semalam menerima sumbangan wang tunai dan barangan makanan daripada Jabatan Penerangan Melaka.

Pengidap kanser payu dara, Salina Binti Kadir, 49 yang ditemui di kediamannya berkata dia berterima kasih kepada pihak Jabatan Penerangan yang menziarahi beliau.

Salina yang kematian suami tinggal bersama ibu dan tiga orang anaknya yang berusia 10, 18 dan 19 tahun. ‘Akak tak mampu bekerja dan cuma mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akak dan mak dapat berjumlah rm300 setiap seorang,’ ujarnya.

 

3576151c-9d84-499e-b6ea-8797f072e55e

OKU suami isteri, Haji Endon Md Nor, 87 dan Hajah Kamisah Lemat, 82 juga terharu dengan sumbangan yang diterima.

 

Sementara itu, Haji Endon Md Nor, 87 yang merupakan Orang Kurang Upaya dan isterinya Hajah Kamisah Binti Lemat, 82 yang terlantar dan mempunyai penglihatan terhad juga terharu dengan sumbangan yang diterima.

Mereka mempunyai empat orang anak lelaki yang masing-masing telah berkeluarga dan tinggal berjauhan.

Pasangan ini menerima bantuan bulanan daripada JKM sebanyak RM300. Selain diabetes, Hajah Kamisah disyaki mempunyai masalah batu karang dan akan membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Selayang minggu hadapan.

Sepasang suami isteri bisu, Abd Aziz Hashim, 56 dan isterinya Nazurah Kariman, 44, mempunyai lima orang anak berusia 22, 17, 16, 12 dan tiga tahun. Anak kedua mereka juga bisu seperti mereka.

Aziz tiada pendapatan tetap dan sekadar mengambil upah kerja-kerja kampung, seperti memesin dan meracun rumput. Nazurah pula mengambil upah mengemas dewan.Aziz dan Nazurah menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 setiap seorang.

Warga emas, Saleha Md Jani, 80, yang terlantar sejak sesak nafas pada Mei lepas kerana jangkitan kuman pada paru-paru telah lama kematian suami dan tidak mempunyai anak. Saleha tidak mampu bangun dan cuma minum susu menggunakan tiub sahaja. Beliau tinggal bersama kakak dan adiknya.

9236589b-cdb9-43b7-b38e-fdda1e967d01

Haryati Mustapha sekeluarga turut dibantu.

 

Pengerima terakhir, Haryati Mustapa, 43 pula menceritakan tentang rumah mereka sekeluarga. ‘Suami saya ada menyimpan duit sedikit, jadi dia tambah satu lagi bilik sebab anak lelaki dah besar dan tak boleh campur bilik dengan anak perempuan. Kami cadang nak pindah pada 1 Ramadhan 2014, tapi Allah jemput arwah dulu pula pada tarikh tu. Ramadhan 2016 ni genap dua tahun arwah pergi,’ ujarnya.

Suami Haryati meninggal akibat serangan jantung ketika menuju ke bilik air. Sejak itu Haryati dan enam orang anaknya tinggal di rumah tersebut.

Haryati tidak bekerja sejak terlibat dalam kemalangan pada Januari 2016. Dia begitu berjimat menggunakan bantuan JKM sebanyak RM450 untuk mereka sekeluarga.

 

-AAS
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda