Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Sudah 58 Tahun Tidak Pulang Balik Kampung

By 20 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Penghijrahan ke Malaysia dari Kalimantan, Indonesia sejak berusia 15 tahun  untuk mencari rezeki mempertemukan Osman Idris,76, dengan keluarga Abu Samah di Felda Sandakan.

Beliau kini tinggal bersama keluarga anak angkatnya di Taman Sri Chinchin, Jasin yang menganggap beliau seperti keluarga sendiri.

“Seingat saya telah berada di Malaysia selepas setahun merdeka, iaitu pada tahun 1958. Semenjak itu saya tidak pernah berhubung dengan adik beradik di Kalimantan mahu pun mak ayah saya sendiri,” ujarnya.

“Bapa saya seorang petani dan kami menanam makanan kami sendiri. Mak akan masak sayur dan makanan kampung saja untuk alas perut. Atas desakan hidup, saya berhijrah ke Malaysia, jadi tak begitu ingat sangat cerita lalu sebab dah lama,”katanya sebak.

Menurut anak angkatnya, Junitah Ribin, 46 walaupun adik beradik suaminya ramai, tetapi Pakcik Osman lebih serasi dengan keluarga mereka, dan sebab itu mereka tidak kisah untuk membawanya bersama ke Melaka.

“Walaupun Pakcik Osman menghidap pelbagai penyakit, namun semangatnya kuat untuk sembuh. Puasa ke-5 tahun lepas beliau pernah muntah darah kerana terdapat ketumbuhan dalam perut, setelah pelbagai proses berubat, beliau sembuh dan kembali berselera untuk makan,” jelas Junitah ketika dikunjungi oleh Malaysiaaktif.

Menurutnya, tidak sukar menjaga Pak Cik Osman kerana tidak memilih soal makan. Beliau turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan tersebut dapat digunakan untuk membiayai kos perubatan beliau.

“Dalam usia sekarang, Pakcik Osman masih mampu untuk bekerja di bengkel besi dengan gaji RM700 sebulan. Dan beliau tidak lokek membeli barangan dapur dan memberi wang kepada anak-anak saya,”ujar Junitah lagi.

Junitah ditemui semalam dalam Program Sekampit Beras Sekilo Gula anjuran bersama Politeknik Melaka dan Japerun Merlimau yang disampaikan oleh isteri Ahli Dewan Undangan Merlimau, Datin Zalifah Omar.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda