Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau PinangViral

Paluan Gendang Raya Pusaka Imbau Kenangan

By 30 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Norhayani Hashim & Ariza Mohamed Zaki (Kepala Batas)

KEPALA BATAS, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Suatu ketika dahulu, Gendang Raya digunakan sebagai alat penghebah untuk memaklumkan penduduk kampung, telah masuknya waktu solat.

Dikenali sebagai Beduk atau Tabuh di sesetengah tempat, Gendang Raya turut digunakan untuk menyampaikan amaran kecemasan seperti berlakunya kebakaran dan kematian.

Gendang Raya dipalu dengan pelbagai rentak yang berbeza bagi memudahkan penduduk kampung untuk membezakan mesej yang ingin disampaikan.

Biarpun dikatakan semakin hilang ditelan zaman, tradisi Gendang Raya ini masih diamalkan di Masjid Jamek Permatang Keriang dan beberapa masjid lain di Seberang Perai Utara.

Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Permatang Keriang, Abu Bakar Man, 79, berkata, Gendang Raya yang dahulunya diletakkan di balai lintang masjid itu, kini diletakkan di ruang memasak masjid untuk digunakan pada bulan Ramadan.

“Setiap kali bulan Ramadan, gendang itu dipalu apabila tiba waktu maghrib bagi memberitahu orang kampung bahawa telah masuk waktu berbuka puasa,” katanya.

WhatsApp-Image-20160628

Tambah Abu Bakar, Gendang Raya di masjid itu dibuat sendiri oleh penduduk kampung Permatang Keriang secara bergotong-royong pada suatu ketika dahulu.

“Menurut cerita orang-orang dahulu, gendang tersebut diperbuat dari tunggul balak yang dijumpai hanyut di Sungai Muda. Kayu tersebut dikorek di bahagian tengah sehingga membentuk sebuah lilitan besar dan hujung batang pokok tersebut dibalut dengan kulit lembu dan dipasak menggunakan kayu,” jelasnya.

Setiap hari, ahli-ahli jawatankuasa masjid bergilir-gilir mengetuk gendang raya yang berusia 126 tahun ini, seusia dengan masjid berkenaan yang dibina pada tahun 1890.

– AH

Tinggalkan komen anda