Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

PRK – SPR Jangka 75 Peratus Keluar Mengundi

By 17 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh: Aimi Huwaina / Foto: Fandy Azlan (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 75 peratus pengundi berdaftar dijangka akan menjalankan tanggungjawab mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata peratusan tersebut akan meningkat sekiranya pengundi yang berada di luar kawasan parlimen pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Kita menyeru kepada pengundi-pengundi sama ada yang berada dalam kawasan Kuala Kangsar, ataupun Sungai Besar, terutamanya mereka yang berada di luar kawasan balik untuk mengundi.

“Sebagai warganegara Malaysia, mengundi ini adalah keutamaan kepada kita untuk menegakkan demokrasi dalam negara kita, untuk kita memilih pemimpin yang akan memimpin kita. Jadi pembuangan undi ini ialah satu terjemahan untuk kita memilih pemimpin kita,” katanya selepas meninjau proses semakan isi peti PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Hashim menasihati pengundi di kedua-dua PRK berkenaan supaya membuat semakan maklumat pengundian bagi mengelak sebarang kesulitan pada hari pengundian.

“Pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan makluman pengundian masing-masing seperti nama pusat mengundi, nombor saluran dan nombor siri dalam daftar pemilih. Terdapat sesetengah pengundi yang tempat pengundian mereka berubah berikutan pembetulan dan penyelarasan semula daerah-daerah mengundi bagi tujuan persempadanan semula,” jelas Hashim.

Pengundian PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak esok mulai 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala keputusan pengundian akan diumumkan selewat-lewatnya 9.00 malam esok.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda