
PUNCAK ALAM, 10 Jun – Sempena bulan Ramadan yang mulia, Universiti Teknologi Mara (UiTM Puncak Alam, menerusi Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan bersama syarikat pengeluar Minyak Masak Cap Buruh hari ini mengagihkan lebih 8,000 mangkuk Bubur Lambuk kepada para pelajar dan kakitangan kampus UiTM Puncak Alam serta UiTM Puncak Perdana.
Program agihan bubur lambuk besar-besaran itu adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun UiTM yang ke-60 dan program Ihya Ramadhan. Ia dikatakan antara program agihan bubur lambuk paling besar yang pernah diadakan oleh universiti tersebut.
Menurut kenyataan syarikat penaja, Bubur Lambuk ini istimewa kerana ia mengandungi rempah ratus dan ramuan aromatik seperti udang kering dan lain-lain. Bubur lambuk dengan resepi rahsia ini pernah dihidangkan untuk santapan diraja, termasuk Yang DiPertuan Agong.
Antara rempah yang digunakan termasuk cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, halba dan lada hitam. Tidak ketinggalan, bahan-bahan lain seperti daging, udang kering, bawang goreng, kacang tanah, ketumbar serta daun sup untuk hidangan permulaan iftar yang sedap.
Rektor UiTM Selangor, Prof. Dr. Haji Zaini Abdullah secara simboliknya melancarkan program tersebut dengan sama-sama menyertai Dekan-Dekan dari lapan fakulti UiTM Selangor Kampus Puncak Alam mengacau Bubur Lambuk ini semalam.
“Ramadhan ialah bulan untuk muhasabah diri, berkongsi dan berkasih sayang di antara satu sama lain. UiTM berbesar hati kerana dapat berkongsi rahmat bulan yang mulia ini dengan para pelajar dan kakitangannya. Apatah lagi organisasi ini meraikan ulang tahun yang ke-60,” kata Zaini.
Resipi Bubur Lambuk ini merupakan idea Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM, Mohd Shazali Mohd Sharif. Beliau telah mencipta dan menambah baik resepi ini selama lebih satu dekad.
“Ketika merancang program ini, kami mahu memberikan yang terbaik kepada para pelajar dan kakitangan. Resepi ini telah diterima baik oleh keluarga diraja di Malaysia. Jadi kami ingin berkongsi dengan semua. Dengan tajaan minyak masak Buruh, kami dapat menawarkan rasa sama dengan apa yang kami hidangkan kepada keluarga diraja sebelum ini,” kata Shazali.