Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangorViral

Keropok Lekor: Dari Terengganu Ke Sungai Besar

By 10 Jun 2016Tiada komen4 minit bacaan
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto Muhammad Rizal Redzuan

SUNGAI BESAR, 10 Jun (Malaysiaaktif) – “Dari Terengganu saya mengikut suami ke Sungai Besar. Saya lihat pada 2006 itu banyak kawasan perikanan tapi tak ramai pengusaha keropok lekor, jadi saya mula berhajat untuk menghijrahkan perniagaan keropok lekor ke sini.”

Demikian kata Pengusaha Keropok Lekor, Ramlah Haji Muda, 60 ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif hari ini.

“Kawasan Sungai Besar ini berlatarbelakangkan ikan yang mudah diperoleh. Jadi saya jumpa seorang tauke Cina yang selama ini memproses ikan untuk jadi bebola ikan semata-mata. Saya ajar dia hasil proses guna ikan tamban dan gelama boleh jadi keropok lekor sedap.

 

IMG-20160610-WA0040

Ramlah Haji Muda.

 

“Sejak itu, empat hingga lima tan satu hari dia proses sebab saya beritahu kepada semua kawan dah ada pengusaha Selangor yang proses ikan untuk keropok lekor di Sungai Besar,” ujar Ramlah.

Berbeza dengan keropok lekor lain, resipi Ramlah, 40 peratus isi ikan (otoshimi) sementara 28 peratus tepung ubi dan tepung jagung dijual dengan harga RM6 dalam satu pek 300 gram.

“Saya lebihkan isi ikan. Biasa orang buat 40-40, saya buat 40-28. Keropok saya kalau masak ambil masa nak garing sebab banyak ikan. Macam yang masak selalu cepat garing maksudnya terlalu banyak tepung. Orang Terengganu tak makan garing tapi orang Sungai Besar biasanya bila masak kena tunggu lama sikit baru makan.

 

IMG-20160610-WA0035

“Biasa dapat buat 1500 peket seminggu,” Ramlah.

 

Selain keropok lekor, Ramlah turut membuat satar popia beku yang boleh dibakar dan digoreng.

“Di Selangor tak ramai yang buat satar, biasa dapat buat 1500 peket seminggu dan saya turut menyertai Pasar Tani di Shah Alam pada setiap Rabu dan Ahad.

Pekerja Ramlah pula terdiri daripada penduduk Penempatan Penduduk Termiskin (PPRT) Batu 23 Sg. Nibong.

“Di kilang saya dengan proses membuat keropok lekor, satar dan perlu juga ke Pasar Tani, saya  mengupah enam orang asnaf miskin dengan upah sebanyak RM30 sehari,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ramlah turut mengambil dua orang pelatih Pemprosesan dan Kualiti Makanan, Kolej Komuniti Sabah Bernam untuk membantunya.

“Puan Ramlah banyak mengajar saya cara-cara untuk memebuat keropok lekor, sata dan sos keropok. Selain itu, dia juga sering berpesan jika ingin berjaya dalam industri makanan kita perlu berdisiplin dan menjaga kebersihan,” ujar Nurul Iman Basri, 19 yang telah dua bulan menjalani latihan praktikal di Kilang Keropok Lekor Ramlah.

Menyentuh musim Ramadan dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang sedang berlangsung, Ramlah mengakui ada pertambahan rezeki sebanyak 30 peratus.

 

IMG-20160610-WA0042

 

“Sekarang memang ada pertambahan adunan. Biasa 200kg isi ikan, kini bertambah 50kg setiap proses. Ada juga wakil-wakil parti bertanding yang datang dari Gombak, Ampang, Putrajaya, Melaka dan Pahang.

“Kalau di Bazar Ramadan, polis yang banyak datang membeli. Kami sediakan dalam 1600 satar setiap hari untuk digoreng dan dibakar,” ujarnya yang membuka satu gerai di Sungai Besar manakala anaknya membuka gerai di Sabak Bernam.

Ramlah juga turut memaklumkan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) banyak memberi bantuan dan bimbingan kepada usahawan makanan sepertinya.

“Masa mula-mula buka dulu, LKIM beri satu meja pengetos keropok dan satu meja penggelek selain MARA beri pinjaman. Saya juga memang biasa berkursus sebanyak tiga kali setahun seperti Kursus Pembangunan Usahawan Jabatan LKIM dan Kursus Keropok Lekor anjuran Kementerian Asas Tani.

 

IMG-20160610-WA0038

 

“Sekarang saya lihat LKIM banyak pantau sahaja kepada usahawan lama seperti saya namun membuka peluang kepada usahawan muda seperti anak saya untuk berkursus,” tambahnya.

Namun yang menjadi masalahnya apabila bantuan yang diharapkan untuk membaiki kilangnya tidak diterima sehingga kini.

“Setiap tahun saya isi borang tapi senyap je. Saya mohon bangunan saya dibaiki. Pintu dah banyak kali roboh, namun Majlis Daerah katanya tiada bajet,” keluh Ramlah.

Sementara itu, menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Haji Tajuddin Abdul Rahman Tajuddin, pihaknya sentiasa memantau dan memberi bimbingan dalam membantu peladang, nelayan dan usahawan untuk berjaya dalam bidang masing-masing.

“Pihak MOA sentiasa pantau, beri program latihan, bantuan peralatan untuk mereka menjalankan keusahawanan dalam bidang pertanian, jahit-menjahit lain, pemprosesan makanan, agro, buat kuih-muih dan sebagainya.

Selain itu, modal turut diberi melalui TEKUN, elaun sara hidup RM200 sebulan selain menggalakkan mereka terlibat dalam pemasaran dalam bidang yang lebih luas lagi,” katanya yang ditemui dalam Majlis Ramah Mesra dengan peladang nita, peladang, nelayan dan usahawan Sungai Besar pada Sabtu lepas.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda